Assalamualaikum dan salam sejahtera. Syukur alhamdulillah, akhirnya saya dapat meneruskan lagi blog saya kerana dahulu saya terlupa kata laluan emel saya. Sejuta kemaafan saya ucapkan kepada pensyarah saya, Dr. Siti Saniah kerana saya lewat untuk post tajuk-tajuk terbaharu dalam blog saya.
Apakah yang dimaksudkan dengan dialek? Dialek / loghat / pelat adalah merupakan satu kelainan bahasa yang berbeza daripada segi sebutan, tatabahasa dan kosa kata berbanding bahasa baku. Baiklah, pada hari ini, topik perbincangan saya ialah berkenaan perkataan 'dialek' yang digunakan di dua buah negeri, iaitu negeri Kelantan dan Johor yang berkaitan dengan perkataan 'saing'.
Mungkin ramai antara kita yang pernah mendengar istilah ini dituturkan oleh sebilangan masyarakat, namun tidak ramai yang mengetahui maksud yang sebenar, termasuk saya. Pada mulanya saya tidak faham dengan dialek yang rakan-rakan saya gunakan kerana terdapat pelbagai kawan dari pelbagai negeri. Tetapi lama-kelamaan saya dapat membezakan maksud dialek yang mereka gunakan. Istilah 'saing' ini sebenarnya memberi beberapa makna yang tidak diketahui oleh orang lain. Berdasarkan pertanyaan yang telah saya lakukan terhadap rakan-rakan sekeliling, mereka mendefinisikan 'saing' ini sebagai istilah yang membawa maksud 'kawan', yakni makna istilah yang digunakan oleh masyarakat Kelantan. Contoh ayat :
"Tok seko aku mung sanggup nippu aku, mung tok ingat kito ni saing lamo mano doh?"
Ayat di atas membawa maksud "Tak sangka aku kamu sanggup menipu aku, kamu tidak ingat kita ini 'kawan' lama mana dah?"
Bagi masyarakat yang asalnya bukan dari negeri Kelantan mungkin tidak akan memahami ayat tersebut.Perkataan 'saing' itu juga tidak dapat ditafsirkan dengan jelas apakah maksudnya yang sebenar. Namun begitu, istilah ini membawa maksud lain jika dalam dialek Johor. Istilah 'saing' dalam dialek Johor membawa maksud 'pergi bersama'. Contoh ayat :
"Ali, kelas Sejarah nanti kita pegi saing ya?"
Berdasarkan ayat di atas, ianya bermaksud " Ali, kelas Sejarah nanti kita pergi bersama ya?".
Saya mempunyai ramai kawan dari negeri Johor. Saya pernah tersalah faham dengan maksud sebenar yang cuba disampaikan oleh rakan saya. Dia berkata "Pas kelas ni boleh la saing g makan sama". Saya ingatkan dia mahu mengajak rakannya untuk makan bersama-sama dengan kami. Itulah padahnya jika kita tidak memahami dialek negeri lain.
Semoga perkongkian ini dapat memberi manfaat bersama. Sekian. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment