WELCOME

Saturday, 30 March 2013

#20# Cikgu Tandas?


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada hari ini saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang pengalaman di sekola dahulu. Saya yakin dan pasti anda smeua pernah dengar soalan sebegini yang diajukan oleh murid kepada gurunya apabila meminta izin ke tandas :

1. Cikgu tandas ?

2. Cikgu tandas !

3. Cikgu, tandas ?

4. Tandas cikgu !

5. Cikgu pergi tandas.

Penggunaan ayat ini apabila kita kaji dari segi semantik adalah salah. Selain itu, apabila kita mendengar soalan yang diajukan sedemikian rupa, kita juga akan berasa sakit hati dan tersinggung. Padahal sememangnya kita memahami maksud yang disampaikan oleh murid tersebut. 

Oleh itu, kita harus menegur murid-murid yang sering melakukan kesalahan sebegini, bimbang nanti alah bisa tegal biasa. Murid-murid seharusnya meminta izin untuk ke tandas dengan cara yang betul seperti, "Cikgu, Izinkan saya ke tandas?". Penggunaan ayat tersebut nampak lebih mesra dan sopan. Walaupun dalam nada marah, kita mestilah mempunyai kesopan dan kesantunan dalam berbahasa. Sekian.








Friday, 29 March 2013

#19# Silat Seni Gayong


Kali ini saya mahu berkongsi mengenai pengalaman saya menyertai Silat Seni Gayong. Saya mengambil kokurikulum Silat Seni Gayong selama dua semester sebanyak dua jam kredit. Saya memang suka dengan silat seni sejak kecil lagi, namun saya tidak berpeluang untuk menyertainya. Apabila di universiti ada menawarkan silat dalam senarai kokurikulum, lalu saya pun ambil subjek tersebut. 

Kenapa saya cerita tentang Silat Seni Gayong? Pada saya, Sila Seni Gayong ada keistimewaannya tersendiri yang menggambarkan jati diri Melayu. Silat merupakan seni bela diri dan perisai masyarakat Melayu di nusantara. Berdasarkan bukti penemuan tinggalan sejarah yang terdapat di Candi Borobodur dan Candi Prambanan di Jawa, dapatlah disimpulkan bahawa sudah wujud seni silat mempertahankan diri ini di kawasan kepualauan Melayu pada abad ke 8 Masihi.

Teringat kembali semasa saya menyertai silat tersebut. Sebelum kami memulakan latihan, kami akan menyanyikan beberapa buah lagu, iaitu lagu Ibu Kandung Suluh Budiman, Lagu Silat Gayong dan Lagu Warisan. Saya kongsikan bersama lagu Warisan, yang saya rasa lagu tersebut mempunyai banyak makna tersirat dan tersurat.



Dalam lagu tersebut, diulang sebanyak tiga kali iaitu "Melayu kan gagah di nusantara". Saya yakin dan pasti bahawa kita iaitu orang Melayu mampu berdaya saing dengan masyarakat lain untuk menunjukkan bahawa kita juga boleh. Selepas lagu itu dinyanyikan, Tok Guru kami akan bertanya kepada kami dengan lantangnya, "Siapa kita?" sebanyak tiga kali. Kami selaku anak muridnya akan menjawab dengan nada yang lantang juga "MELAYU!!".


 * TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA*






Thursday, 28 March 2013

#18# Kata Ganti Diri Pertama Mengikut Dialek


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar semua? Harap semuanya berada dalam keadaan sihat sejahtera. Pada hari ini saya ingin berkongsi mengenai kata ganti diri pertama mengikut dialek. Namun begitu tidak semua dialek yang dapat saya kumpul, tetapi hanya beberapa buah negeri sahaja. 

Saya pernah berkongsi mengenai persamaan penggunaan kata ganti diri pertama 'kome' bagi masyarakat Pahang dan Perak beberapa hari yang lepas. Kali ini saya tidak menceritakan persamaan atau perbezaa, cuma ingin berkongsi sahaja bentuk kata ganti diri pertama yang digunakan mengikut dialek. 

Panggilan kata ganti diri pertama mengikut dialek :

Terengganu - ambe
Kelantan - Kawe, ambo
Pahang - Kome, Koi, Kas
Perak - teman
Negeri Sembilan - Den
Sarawak - Kitak





Semoga dengan perkongsian ini dapat memberi manfaat dan pengetahuan baru kepada anda semua. Sekian. Terima kasih.








Wednesday, 27 March 2013

#17# Hebatnya P. Ramlee!


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Adakah anda semua kenal siapakah Datuk P. Ramlee? Saya yakin dan pasti jika kita ajukan soalan ini kepada sesiapa pun masyarakat di tanah air kita, mereka pasti akan mengenali insan tersebut. Beliau sangat terkenal suatu masa dahulu, bukan sahaja di dalam negara malah luar negara. 

Nama diberi adalah Tan Sri Datuk Amar Dr. P. Ramlee ( dilahirkan sebagai Teuku Zakaria bin Tenku Nyak Puteh pada 22 Mac 1929 - 29 Mei 1973). Beliau mempunyai kemahiran dalam bidang nyanyian, lakonan, pengarah, pemuzik, dan penulis lagu yang berasal dari Pulau Pinang. Beliau juga digelar sebagai "Seniman Agung Negara" kerana jasanya yang amat besar dalam industri hiburan terutamanya di rantau Asia Tenggara.  Beliau juga pernah mendapat pengiktirafan yang meluas dari dalam dan luar negara di sepanjang hidupnya hinggalah selepas kematiannya.




Hasil karyanya tidak kira dari segi drama atau lagu-lagu sangat menarik. Karya-karya dalam bidang lakonannya masih lagi ditayang kaca televisyen pada setiap minggu. Denga ini, kita dapat lihat betapa berkuasanya beliau sehingga kini. Benar kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Namanya disebut hingga kini tidak kira generasi tua atau muda.

Tidak lupa juga, hasil karya beliau juga telah dilakonkan semula orang beberapa orang 'Mat Saleh' yang dikenali sebagai 'Belacan dan Paku'. Meraka sangat fasih berbahasa Melayu. Ini menunjukkan warga negara lain juga turut kagum dan menghormati karya negara kita dan bahasa kita. Lihat video ini :







Tuesday, 26 March 2013

#16# Osman Baku

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Pada hari ini saya ingin kongsikan dengan anda semua mengenai salah satu cerita berepisod yang menarik perhatian saya. Nampak seperti cerita jenaka, tetapi ianya sarat dengan mesej mengenai memartabatkan bahasa. Episod kali ini lebih sesuai kepada sesiapa yang sering menggunakan bahasa rojak dalam kehidupan seharian mereka. Saya telah berkongsikan mengenai bahasa rojak pada beberapa hari yang lepas, mungkin anda semua masih ingat lagi apakah yang dimaksudkan dengan bahasa rojak. Oleh itu, saksikan video ini dahulu. Selamat menonton. ^_^





Monday, 25 March 2013

#15# Orang Berbudi, Kita Berbahasa


Malaysia terkenal dengan sikap sopan santunnya, pelbagai budaya, agama dan lain-lain lagi. Pasti ramai masyarakat dari seluruh pelusuk dunia terpesona dengan keunikan yang ada pada negara kita serta masyarakatnya. Walhal mereka juga belum tahu, kita juga terkenal dengan sikap yang kurang 'bahasanya'. 

Saya pergi berjalan-jalan di pekan Tanjong Malim dengan rakan-rakan pada hujung minggu lepas. Kami singgah untuk memcari barang di kedai buku. Saya telah cari disetiap penjuru barang tersebut, tetapi tetap tidak saya temui. Akhir sekali, saya bercadang untuk bertanya kepada pekerja di keda tersebut. "Maaf kak, tumpang tanya, ada tak buku ZZZ dijual di sini?", saya ajukan soalan kepadanya. Dia terus berpaling memandang tepat ke muka saya lalu berkata "awak jumpa tak buku tu? Kalau dah tak jumpa tu tak ade lah maknanya. Tak kan tu pun tak reti!". Dia terus sambung buat kerjanya semula dengan muka yang agak masam. Alahai! Saya agak terkejut dengan jawapan yang diberikan, lalu saya ucapakan terima kasih dan berlalu pergi.

Saya yakin dan percaya pasti terdapat banyak lagi situasi sebegini yang berlaku kepada anda semua. Saya cuma hendak tekankan bahawa apabila seseorang itu telah berbudi kepada kita, bertanyakan soalan dengan betul, apa salahnya jika kita berbahasa dengannya? Tidak rugi bukan? Paling tidak, kita lemparkan senyuman kepada orang tersebut supaya dia boleh bertenang apabila melihat senyuman manis kita. Berbalik kepada kejadian yang menimpa saya itu, saya rasa ada juga baiknya ianya berlaku kepada saya. Kenapa? Jika perkara tersebut berlaku kepada pelancong luar yang datang untuk melihat keunikan negara kita, saya yakin dan pasti dia tidak akan datang ke negara kita lagi. 

Oleh itu, jagalah percakapan kita. Bantulah sekiranya orang lain memerlukan pertolongan daripada kita. Cerminlah sikap 'ketimuran' kita itu supaya masyarakat luar benar-benar yakin bahawa kita sememangnya mengamalkan sikap sopan-santun, bukanya hanya indah khabar dari rupa. Akhir kata, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Sekian.













Friday, 22 March 2013

#14# Dialek Kelantan atau Bahasa Inggeris?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah, kali ini saya akan berkongsi dengan anda mengenai dialek Kelantan lawan bahasa Inggeris.

Saya terdetik untuk berkongsi mengenai tajuk ini selepas saya mendengar kisah daripada seorang rakan saya. Saya fikir ianya agak menarik dan boleh dikongsi bersama. Berdasarkan kisah daripada kawan saya ini, dia menceritakan semasa dia sekolah menengah dahulu, terdapat seorang guru ganti yang mengantikan guru bahasa Inggerisnya yang cuti bersalin. Guru ganti tersebut berasal dari negeri Kelantan. Kejadian itu berlaku ni tempat kawan saya, iaitu negeri Pahang.  

Semasa guru tersebut mahu mengajar murid-murid, dia sememangnya tidak lekang bercakap dalam dialek kelantan. Semangat 'assabiyahnya' sangat tinggi. Guru tersebut seharusnya bersikap lebih professional. Walaupun hanya guru ganti, tetapi dia seharusnya menggunakan bahasa Melayu standard dalam pengajaran harian dalam kelas. Apabila kelas tersebut, pasti akan kecoh dengan gelak tawa murid-murid kerana guru tersebut nampak lucu bercakap bahasa Inggeris dalam dialek Kelantan. 

Sikap ini tidak seharusnya terjadi. Ketika mengajar, kita jangan sesekali menggunakan dialek kita kepada pelajar. Gunalah bahasa Melayu tinggi yang standard supaya kita dapat meningkatkan penggunaan bahasa murid-murid walaupun sedikit. Semoga dengan perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua.. sekian.



Thursday, 21 March 2013

#13# Bahasa Rojak

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Pada hari ini saya ingin kongsikan kepada anda semua mengenai bahasa rojak.

Apakah itu bahasa rojak? Bahasa rojak ialah bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan penuturnya (misalnya seketika menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dan seketika lagi menggunakan kata-kata dalam bahasa Inggeris). Situasi ini berlaku dalam konteks lisan sama ada rasmi atau tidak rasmi dan bukannya dalam penulisan, khususnya penulisan ilmiah. Dalam penulisan kreatif seperti dialog komik, ada kecenderungan menggunakan bahasa rojak dalam dialog watak-wataknya. Bahsa rojak tidak menggunakan tatabahsa yang betul. Cara mengatasi bahasa rojak ialah pengguna hendaklah mengikut sistem dan tatabahsa yang ebtul, laras yang sesuai dan tidak mencampurkan bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa asing.

Sementara menunggu bas datang, saya ketika itu bersendirian mencuri dengar perbualan antara dua orang sahabat (pelajar UPSI) yang ketika itu pun menunggu bas juga. Perbualan mereka pada ketika itu banyak menggunakan bahasa rojak. Antara perbualan mereka yang sempat saya dengar ialah :

Pelajar A : Weekend lepas kau pergi mana? Shopping kat KL ke?
Pelajar B : Ya. Boring la duk kat kolej, that why jalan-jalan g shopping.

Berdasarkan perbualan mereka di atas, kita dapat lihat memang banyak bahasa rojak yang digunakan oleh mereka. Sepatutnya mereka perlu mengubah penggunaan bahasa Inggeris tersebut kepada bahasa Melayu, seperti :

Pelajar A : Hujung minggu lepas kau pergi mana? Membeli-belah kat KL ke?
Pelajar B : Ya. Bosan la duk kat kolej, sebab itu jalan-jalan g membeli-belah.

Pengguna seharusnya menggubah cara penggunaan bahasa ini. Kita seharusnya menjaga dan memartabatkan bahasa Melayu, bukannya mencampur aduk bahasa tersebut dengan bahasa lain. Marilah kita sama-sama mengurangkan penggunaan bahasa rojak dalam kehidupan seharian kita. Renung-renungkan dan selamat beramal. Sekian.







Tuesday, 19 March 2013

#12# Penggunaan Kata Sapaan Yang Tidak Sesuai

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kali ini tajuk saya mengenai penggunaan kata sapaan yang tidak sesuai. Kesalahan ini biasanya boleh berlaku antara anak dengan ibu bapa, murid dengan guru, remaja dengan orang dewasa dan lain-lain.  Penggunaan kata sapaan yang tidak sesuai ini sering sahaja berlaku di mana-mana, tidak kira usia, agama dan bangsa. Mengapakah keadaan ini berlaku? Kita sering dijulang sebagai antara negara timur yang penuh sopan santun dan adat resam. Tetapi hakikatnya...? Maaf jika saya berkata demikian, saya hanyalah mengutarakan pendapat saya sahaja. 

Saya sering kali mendengar cerita mengenai anak-anak memanggil ibu bapa mereka dengan kata sapaan yang tidak betul. Ibu bapa merupakan permulaan hidup bagi kita, yang membesarkan dan memeri segala-galanya kepada kita. Tetapi sering diherdik dan dimaki. Antara contoh kata sapaan yang digunakan oleh anak kepada bapa yang pernah saya baca di surat khabar ialah :

Ayah : Din, kau nak ke mana tu?
Anak : Ah! Kau tak payah sibuk la Sarip. Suka hati aku la hendak ke mana pun.

Penggunaan kata sapaan tersebut itu salah dan tidak patut digunakan oleh anak kepada ayahnya. Manakala kata ganti diri yang pertama itu sepatutnya ditukar kepada nama atau 'saya'. Tetapi, ianya bergantung kepada tempat juga. Kebiasaan orang di Sabah akan menggunakan kata ganti diri pertama 'aku' apabila bercakap dengan orang tuanya. Mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi mereka.

Semoga melalui perkongsian ini dapat memberi panduan dan manfaat kepada semua. Amalkan bahasa dan sikap yang menggambarkan kita adalah seorang yang bersopan-santun dan menjaga adap dalam bercakap supaya orang lain akan berasa kagum dan hormat kepada kita. Sekian.







Monday, 18 March 2013

#11# Bahasa SMS

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada hari ini saya ingin berkongsi dengan anda semua mengenai bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS). Kini ramai yang mempunyai telefon bimbit yang canggih, maka sangat hairanlah sekiranya kita tidak memilikki telefon bimbit. Ramai dalam kalangan kita semua akan menggunakan bahasa singkatan apabila menaip di dalam mesej. Terdapat juga ejaannya ditukar seolah-olah menjadi sebuah bahasa asing yang baharu. Penggunaan bahasa SMS ini mampu merosakkan sesuatu bahasa tersebut. Sebagai contoh bahasa SMS ialah :

1. Salam. ari ni de clas x?
2. ko nk ke mn 2?
3. Jum jln2 dkt bndr nk ptg nie?

Maksud :
1. Salam. Hari Ini ada kelas tak?
2. Kau nak ke mana tu?
3. Jom jalan-jalan dekat bandar nak petang ini?





Penggunaan bahasa SMS ini tidak dinafikan untuk memudahkan proses menaip mesej kerana lebih singkat dan cepat. Tetapi sekiranya kita gunakan tanpa had dan kawalan, ianya akan menyebabkan bahasa ini menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian. Kita harus menanamkan sifat cintakan bahasa kita. Penggunaan bahasa SMS ini juga boleh menyebabkan berlakunya salah faham dalam penyampaian mesej kerana penerima tidak dapat memahami maksud yang cuba disampaikan oleh penghantar. Sebagai contoh :


http://www.youtube.com/watch?v=f8kzAtXjAoA


Selain itu, terdapat juga percampuran kod dalam bahasa SMS, contohnya bahasa Inggeris. Kebiasaannya, bahasa Inggeris yang sering dicampurkan dalam bahasa Inggeris itu adalah yang mudah dan semua orag mengetahuinya. Sebagai contoh :

1. Sorry sgt i x dapat datang mlm ni, busy la.
2. Awak free x pagi ni?
3. Jangan la sedih2. Happy la, smile sikit.




Sayangilah bahasa kita, cintailah bahasa kita. Jika bukan kita yang memelihara bahasa kita, siapa lagi? Oleh itu, sama-samalah kita memartabatkan bahasa ibunda kita. Bahasa jiwa bangsa. Sekian.



                                                                     .

Friday, 15 March 2013

#10# Nama Yang 'Diinggeriskan'


Assalamualaikum dan salam sejahtera. 
Apa khabar? Saya harap anda berada dalam keadaan sihat sejahtera. Pada kali ini, saya ingin kongsikan dengan anda mengenai masalah penggunaan bahasa yang sering dilakukan dalam kalangan remaja kini.

Saya yakin dan pasti anda pernah melihat nama-nama orang kita yang telah 'diinggeriskan'? Ini membawa maksud bahawa nama tersebut telah ditukarkan seakan-akan bahasa Inggeris. Kebiasaannya kita boleh lihat situasi sebegini dalam buku muka dan laman sosial yang lain. Antara contoh nama-nama yang sering saya jumpa yang 'diingeriskan' adalah seperti E-one (Ewan), Are-mir (Amir), Are-you (Ayu), Zaq-one (Zaquan) dan lain - lain.

Terdapat ramai lagi yang menggunakan nama sebegitu. Pengubahsuaian nama sebegitu boleh merosakkan bahasa. Nama 'Amir' itu membawa makna dalam bahasa Arab, iaitu pemimpim. Tetapi ramai pula yang mengubah nama asalnya menjadi nama yang lain. 

Kesimpulannya, anda perlu sedar akan kesalahan sebegini. Janganlah menggunakan nama sebegini hanya untuk mengikut 'tred' terkini, kerana ianya boleh menjatuhkan martabat bahasa itu sendiri. Renung-renungkanlah. Sekian.

Tuesday, 12 March 2013

#9# Peribahasa Oh Peribahasa

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada kali ini saya ingin menenunjukkan beberapa persoalan dalam peribahasa. Terdapat beberapa buah peribahasa yang digunakan sehingga kini tetapi sebenarnya ianya salah. Contoh : 

1. Harapkan pagar, pagar makan padi.
2. Bagai melepaskan batuk di tangga.

Bagi peribahasa yang pertama, persoalannya, adakah pagar mempunyai sifat yang boleh memakan sesuatu? Pada dasarnya pagar ini bukannya benda hidup, tetapi ianya hanya sejenis benteng yang menutupi kawasan tertentu. Dari segi logiknya, pagar sememangnya tidak boleh memakan sesuatu. Manakala peribahasa kedua pula, peribahasa ini bermaksud melakukan kerja sambil lewa. Namun begitu, batuk hanyalan sejenis mekanisme pertahanan tubuh di saluran pernafasan. Bagaimana pula batuk boleh dikaitkan dengan maksud sesuatu secara sambil lewa?

Sepatutnya :
1. Harapkan pegar, pegar makan padi.
2. Bagai melepaskan batok di tangga.

Pegar merupakan sejenis seakan-akan warnanya seperti burung merak tetapi burung ini bersaiz kecil. Batok ialah sejenis alat pencedok air yang diperbuat daripada tempurung untuk membasuh kaki bagi orang zaman dahulu. Biasanya, selepas kita membasuh kaki, kita tidak akan meletakkan batok tersebut di tempat asalnya semula. Dari situlah menampakkan gambaran kita melakukan kerja secara sambil lewa.

Hal ini demikian kerana tulisan jawi yang ditukar kepada rumi. Jika dikaji semula, 'pagar' dan 'pegar' dieja dalam tulisan jawi dengan menggunakan ejaan yang sama. Begitu juga dengan 'batuk' dan 'batok'.






#8# 'KOME'

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar semua? Saya harap anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera. In shaa Allah, pada kali ini saya ingin kongsikan mengenai perbandingan istilah kata ganti diri pertama mengikut dialek Pahang dan Perak. 

Istilah 'kome', itulah yang ingin saya kongsikan bersama dengan anda pada hari ini. Mungkin anda semua pernah mendengar istilah 'kome' digunakan dalam kehidupan seharian sesetengah masyarakat. Mungkin juga ada yang tidak pernah dengar istilah itu digunakan. Jika dilafazkan kata ini secara fonologi, sebutannya sama sahaja bagi kedua-dua masyarakat di Pahang dan Perak.

Namun begitu, makna yang dibawa bagi istilah tersebut adalah berbeza. Di Perak, istilah 'kome' ini digunakan sebagai kata gandi diri kedua yang bermaksud 'awak' atau 'kamu semua'. Manakala di Pahang pula, biasanya digunaka di beberapa daerah seperti Jerantut dan Lipis, mereka menggunakan istilah 'kome' itu sebagai kata ganti diri pertama yang membawa maksud 'saya' atau 'kami'.

Kome :   Maksud - 'saya' atau 'kami' (Pahang)
              Maksud - 'awak' atau 'kamu semua' (Perak)

Kebiasaannya orang ramai selalu mendengar istilah 'kome' ini sering kali digunakan oleh masyarakat di Perak sahaja. Apabila diberitahu bahawa masyarakat di beberapa buah daerah di Pahang turut menggunakan istilah 'kome' ini, mereka berasa pelik. Saya sendiri berasal daripada Jerantut, Pahang. Apabila saya menggunakan istilah 'kome' semasa bercakap dengan kawan-kawan, mereka mengandaikan saya menggunakan dialek Perak. 

Oleh itu, terdapat banyak istilah yang sama ejaannya, tetapi berlainan maksud. Sama-samaah kita mengetahui dialek negeri lain bagi memudahkan komunikasi antara sesama kita. Sekian.


Monday, 11 March 2013

#7# Kata Penguat Dialek Terengganu


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada hari ini saya ingin berkongsikan kepda anda semua mengenai kata penguat yang digunakan oleh masyarakat Terengganu. Saya telah tinggal dengan rakan sebilik yang berasal dari negeri Terengganu selama tiga semester di UPSI. Sejajar dengan itu, saya telah belajar sedikit sebanyak dialek dari negerinya. Banyak kata penguat yang digunakan oleh masyarakat Terengganu dalam pertuturan seharian mereka. Dialek Terengganu mempunyai beberapa kata penguat yang unik bagi menunjukkan peri pentingnya sesuatu sifat atau keadaan tersebut. Sebagai contoh :


ADJEKTIF
Musing Ketang - keadaan tak menentu / berpusing-pusing
Pendek Ketok - terlalu pendek
Panjang Jeta - terlalu panjang
Gling Banting - jatuh terguling-guling
Aluh Seriak - terlalu kecil / halus
Berak Nanang - sangat berat
Rengang Belepong - sangat ringan
Come Lote - sangat cantik
Besor Jalo - sangat besar

WARNA
Hitang Beletung - terlalu hitam
Putih Sepuk - terlalu putih
Kuning Sior - terlalu kuning
Meroh Nyale - terlalu merah

RASA
Masing pekok - sangat masin
Manih Leting - sangat manis
Tawo Hebe - sangat tawar
Pahik Lepang - sangat pehit


Masih terdapat banyak lagi kata penguat yang digunakan oleh masyarakat Terengganu. Saya hanya dapat mengumpul ini sahaja. Semoga perkongsian ini dapat dijadikan panduan kepada semua. Sekian, terima kasih.




#6# 'SAING'


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Syukur alhamdulillah, akhirnya saya dapat meneruskan lagi blog saya kerana dahulu saya terlupa kata laluan emel saya. Sejuta kemaafan saya ucapkan kepada pensyarah saya, Dr. Siti Saniah kerana saya lewat untuk post tajuk-tajuk terbaharu dalam blog saya. 

Apakah yang dimaksudkan dengan dialek? Dialek / loghat / pelat adalah merupakan satu kelainan bahasa yang berbeza daripada segi sebutan, tatabahasa dan kosa kata berbanding bahasa baku. Baiklah, pada hari ini, topik perbincangan saya ialah berkenaan perkataan 'dialek' yang digunakan di dua buah negeri, iaitu negeri Kelantan dan Johor yang berkaitan dengan perkataan 'saing'.

Mungkin ramai antara kita yang pernah mendengar istilah ini dituturkan oleh sebilangan masyarakat, namun tidak ramai yang mengetahui maksud yang sebenar, termasuk saya. Pada mulanya saya tidak faham dengan dialek yang rakan-rakan saya gunakan kerana terdapat pelbagai kawan dari pelbagai negeri. Tetapi lama-kelamaan saya dapat membezakan maksud dialek yang mereka gunakan. Istilah 'saing' ini sebenarnya memberi beberapa makna yang tidak diketahui oleh orang lain. Berdasarkan pertanyaan yang telah saya lakukan terhadap rakan-rakan sekeliling, mereka mendefinisikan 'saing' ini sebagai istilah yang membawa maksud 'kawan', yakni makna istilah yang digunakan oleh masyarakat Kelantan. Contoh ayat :

   "Tok seko aku mung sanggup nippu aku, mung tok ingat kito ni saing lamo mano doh?"

Ayat di atas membawa maksud "Tak sangka aku kamu sanggup menipu aku, kamu tidak ingat kita ini 'kawan' lama mana dah?" 

Bagi masyarakat yang asalnya bukan dari negeri Kelantan mungkin tidak akan memahami ayat tersebut.Perkataan 'saing' itu juga tidak dapat ditafsirkan dengan jelas apakah maksudnya yang sebenar. Namun begitu, istilah ini membawa maksud lain jika dalam dialek Johor. Istilah 'saing' dalam dialek Johor membawa maksud 'pergi bersama'. Contoh ayat :

 "Ali, kelas Sejarah nanti kita pegi saing ya?"

Berdasarkan ayat di atas, ianya bermaksud " Ali, kelas Sejarah nanti kita pergi bersama ya?". 

Saya mempunyai ramai kawan dari negeri Johor. Saya pernah tersalah faham dengan maksud sebenar yang cuba disampaikan oleh rakan saya. Dia berkata "Pas kelas ni boleh la saing g makan sama". Saya ingatkan dia mahu mengajak rakannya untuk makan bersama-sama dengan kami. Itulah padahnya jika kita tidak memahami dialek negeri lain. 

Semoga perkongkian ini dapat memberi manfaat bersama. Sekian. Terima kasih.

                                                                      




Friday, 8 March 2013

#5# Jom Membaca

Membaca? Alah! Malasnya. Itulah keluhan yang sering kali kita selalu dengar apabila disuruh membaca. Tetapi kita selalu kagum apabila melihat seseorang yang mempersembahkan ketajaman intelek dan kedalaman pengetahuannya. Kita selalu karam dalam kekaguman itu. Seperti pepatah Arab, "Apabila diketahui sebab-sebabnya, maka terbatallah keajaiban". Apabila kita mengetahui bagaimana tabiat membaca seseorang itu, maka kita tahu bagaimana fikiran merea menjadi begitu tajam dan pengetahuan mereka begitu mendalam. Jadi kita juga seharusnya bersikap seperti mereka yang senantiasa mencari masa untuk menimba ilmu dengan cara membaca. 

Mengapa membaca?
Terdapat banyak sebab mengapa kita membca. Membaca hanya bagi mendapat maklumat sahaja tidak mencukup. Membaca adalah bagi membina konsep dan idea mengenai banyak perkara. Pupuklah tabiat membaca. Tanamkan dalam diri kita menjadikan budaya membaca ini sebati dalam diri kita. Kita boleh membaca di mana-mana pun jua dan pada bila-bila masa. Budaya membaca ini seharusnya diterapkan sejak kecil lagi oleh ibu bapa. 







Oleh itu, marilah kita membudayakan amalan membaca mulai sekarang. Dengan membaca kita dapat lebih banyak maklumat dan pengetahuan yang baru yang masih belum kita terokai. 

MEMBACA AMALAN MULIA !

.....


Thursday, 7 March 2013

#4# Tidak Faham Arahan

Pelik tapi benar! Saya masih tertanya-tanya mengapakah masih ada sesetengah masyarakat kini yang tidak mematuhi arahan. Terdapat banyak papan kenyataan yang memaparkan arahan dengan jelas untuk melarang kita untuk membuat sesuatu yang menyalahi undang-undang. Adakah mereka tidak faham arahan tersebut? Mustahil! Saya yakin dan pasti rata-rata rakyat Malaysia merupakan rakyat yang celik huruf. Tetapi mengapakah masih ada yang melanggar arahan?











Saya berharap agar perkara sebegi boleh diatasi dari semasa ke semasa. Agak sukar untuk mengatasi masalah ini sekira orang ramai tidak mahu mengambil inisiatif untuk berubah ke arah kebaikan. Sebagai manusia yang bijak, kita seharusnya mengikut arahan yang telah diberikan sdan mengamalkan nilai-nilai murni yang telah diseru oleh kerajaan. 


Wednesday, 6 March 2013

#3# Ucap Terima Kasih

TERIMA KASIH. Satu ayat yang mudah dan senang untuk diucapkan kepada sesiapa pun. Kita boleh mengucapkan terima kasih kepada sesiapa pun, tidak kira umur, bangsa, agama, pangkat, dan lain-lain. Ucapan terima kasih sebagai satu lambang kita mengargai jasa seseorang yang telah membuat kebaikan kepada kita. Jadi tiada salah sekiranya kita meringankan mulut untuk mengucapkan terima kasih.

Mulakan pada hari ini.
Apabila kita pergi ke restoren dan dihidangkan makanan dan minuman yang dipesan, ucapkan terima kasih kepada pelayan yang menghidangkan makanan tersebut. Pelayan itu tidak kenal kita dan kita tidak kenal pelayan itu,  tetapi dia berhak menerima ucapan terima kasih kita walaupun dia sekadar menghantar segelas air kosong! 

Belajar berbudi bahasa.
Saya yakin dan percaya bahawa anda semua sering kali melihat dan mendengar iklan-iklan yang menyeru rakyat Malaysia membudayakan ucapan 'Terima Kasih". Sejajar dengan itu, kita juga dapat mendidik rakyat kita dnegan sikap berbudi bahasa. Kementerian Kebudayaan dan Seni Warisan melancarkan kempen 'Berbudi Bahasa Budaya Kita' bagi mendidik masyarakat Malaysia supaya menjadi individu yang berbudi nahasa. Belajarlah berbudi bahasa dengan membiasakan diri dengan mengucapkan terima kasih.

Sebelum saya mengundur diri, saya tertarik untuk berkongsi dengan anda untuk melihat sebuah iklan bertemakan 'terima kasih' yang sering disiarkan dikaca televisyen. Jum, saksikan.



Tuesday, 5 March 2013

#2# Senyum !!

SENYUMLAH DARI HATI, DUNIAMU BERSERI. Saya yakin dan pasti anda semua melihat iklan mengenai 'senyum' dan liriknya seperti berikut :


                                      Senyum seindah suria yang membawa cahaya
                Senyumlah dari hati duniamu berseri
             Senyum umpama titian dalam kehidupan
         Kau tersenyum ku tersenyum dan kemesraan menguntum
                  Senyum kepada semua
                        Senyumanmu amatlah berharga
               Senyum membahagiakan
                    Dengan senyuman terjalinlah ikatan


Ramai orang merungut kerana mereka dianggap oleh orang lain sebagai sombong dan bongkak pada permulaan perkenalan mereka. Selepas beberapa lama berkawan ataupun berurusan, barulah orang menyedari bahawa dia seorang peramah dan kelakar. Alangkah malangnya satu perhubungan yang sepatutnya sudah memasuki peringkat intim menjadi tawar hanya kerana seorang tidak suka senyum. Orang yang susah senyum dilihat tidak menarik. 

Mengapa susah hendak senyum?
Menurut sebuat buku yang telah saya baca ada menyatakan bahawa mereka bukan susah senyum, tetapi mereka tidak tahu bila masanya fikiran bawah sedar mereka patut memprogramkan perbuatan senyum itu. Ada sesetengah orang yang berjumpa orang lain tetapi mereka mengharapkan orang lain dahulu yang memulakan senyuman kepada mereka. 


Oleh itu, kita harus belajar memberi senyuman yang paling manis. Sering kali kita dengar senyum itu adalah sedekah. Jadi senyumlah seikhlas hati kepada sesiapa sahaja yang kita jumapa. Tetapi awas! Janganlah senyum seorang diri kerana dikhuatiri dicop sebagai orang tidak waras pula. Senyumlah semua... ^_^






.....


Monday, 4 March 2013

#1# Ini Semua POYO

POYO. Sejak kebelakangan ini perkataan 'poyo' menjadi perkataan paling popular dan sentiasa disebut-sebut dalam kalangan remaja kini. Saya tidak dapat mencari sebab mengapa perkataan tersebut tiba-tiba menjadi sebutan ramai. Adakah perkataan 'poyo' ini semakin popular dalam kalangan remaja disebabkan oleh pengaruh artis yang sering menggunakan perkataan tersebut? "Ini semua poyo". Saya dan pasti anda semua sering mendengar ayat tersebut. Apabila saya bertanya kepada rakan-rakan yang menggunakan perkataan tersebut tetapi mereka tidak dapat memberikan maksud perkataan 'poyo' dengan tepat dan jelas. Antara maksud 'poyo' yang telah diberikan oleh rakan-rakan saya ialah :-
     
       1. Berlagak hebat.
       2. Mengada-ngada / gedik
       3. Perasan bagus
       4. Cuba mendapatkan perhatian


Ini adalah merupakan maksud perkataan 'poyo'. Perkataan 'poyo' ini tidak dapat dijelaskan maksudnya dengan tepat. Terdapat pelbagai maksud disebalik perkataan tersebut. Maksud perkataan 'poyo' itu seolah-olah menunjukkan sikap/tingkah laku/perbuatan yang negatif. Saya juga pernah dipanggil 'poyo' oleh rakan-rakan. Adakah anda juga pernah dipanggil sebagai 'poyo'? Adakah anda terfikir bagaimanakah perkataan 'poyo' itu wujud?
Kita seharusnya tidak menggunakan perkataan sebegini. Perkataan 'poyo' merupakan bahasa slanga iaitu merupakan bahasa yang tidak rasmi. Bahasa slanga tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Dengan adanya bahasa slanga seperti perkataan 'poyo' ini, bahasa Melayu kelihatan rendah dan boleh merosakkan bahasa Melayu itu sendiri. Antara contoh lain bagi bahasa slanga ialah 'koya', 'gua', 'brader' dan lain-lain. Oleh itu, kita harus menggunakan dan memartabatkan bahasa Melayu tinggi.

.....