Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Pada hari ini saya akan berkongsi mengenai penggunaan perkataan bagi 'di' atau 'dekat'.
Pada hari Sabtu yang lalu, kami menerima adik-adik angkat dari SK Hulu Bernam. Mereka menjadikan kolej kami sebagai tempat mereka mengadakan program motivasi bagi pelajar darjah enam sekolah tersebut. Kebetulan pada masa itu saya selaku fasilitator yang akan menguruskan aktiviti adik-adik tersebut. Mereka tinggal di kolej kami selama tiga hari dua malam bersama-sama dengan kakak dan abang angkat masing-masing.
Saya menyuruh adik angkat saya untuk mengambil kunci di atas meja, tetapi ayat saya ketika itu begini "Adik, ambil kunci dekat meja tu". Tetapi dia boleh memahami suruhan saya tersebut lalu mengambil kunci di atas meja tersebut. Kawan saya turut berada di situ menegur saya sama ada penggunaan "dekat" itu adalah betul atau tidak? Kalau ikutkan, memang salah, yang betul adalah "Adik, ambil kunci di atas meja tu".
Perkataan 'dekat' biasanya digunakan dalam percakapan seharian kita dan ia disebut sebagai bahasa lisan. Contoh, "Adik, ambil kunci dekat meja tu". Perkataan 'dekat' mengikut konteks masyarakat bahawa kunci itu terletak di atas meja. Perkataan 'di' biasanya digunakan dalam situasi formal dan perkataan ini menimbulkan rasa kekok apabila digunakan dalam percakapan seharian.
Saya menyeru kepada semua termasuk diri saya sendiri untuk menggunakan bahasa Melayu yang standard dan mengikut hukum tatabahasanya tanpa merosakkan bahasa itu. Biasakan yang betul, tinggalkan yang salah. Sekian.
No comments:
Post a Comment