WELCOME

Showing posts with label Minggu 2. Show all posts
Showing posts with label Minggu 2. Show all posts

Friday, 15 March 2013

#10# Nama Yang 'Diinggeriskan'


Assalamualaikum dan salam sejahtera. 
Apa khabar? Saya harap anda berada dalam keadaan sihat sejahtera. Pada kali ini, saya ingin kongsikan dengan anda mengenai masalah penggunaan bahasa yang sering dilakukan dalam kalangan remaja kini.

Saya yakin dan pasti anda pernah melihat nama-nama orang kita yang telah 'diinggeriskan'? Ini membawa maksud bahawa nama tersebut telah ditukarkan seakan-akan bahasa Inggeris. Kebiasaannya kita boleh lihat situasi sebegini dalam buku muka dan laman sosial yang lain. Antara contoh nama-nama yang sering saya jumpa yang 'diingeriskan' adalah seperti E-one (Ewan), Are-mir (Amir), Are-you (Ayu), Zaq-one (Zaquan) dan lain - lain.

Terdapat ramai lagi yang menggunakan nama sebegitu. Pengubahsuaian nama sebegitu boleh merosakkan bahasa. Nama 'Amir' itu membawa makna dalam bahasa Arab, iaitu pemimpim. Tetapi ramai pula yang mengubah nama asalnya menjadi nama yang lain. 

Kesimpulannya, anda perlu sedar akan kesalahan sebegini. Janganlah menggunakan nama sebegini hanya untuk mengikut 'tred' terkini, kerana ianya boleh menjatuhkan martabat bahasa itu sendiri. Renung-renungkanlah. Sekian.

Tuesday, 12 March 2013

#9# Peribahasa Oh Peribahasa

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada kali ini saya ingin menenunjukkan beberapa persoalan dalam peribahasa. Terdapat beberapa buah peribahasa yang digunakan sehingga kini tetapi sebenarnya ianya salah. Contoh : 

1. Harapkan pagar, pagar makan padi.
2. Bagai melepaskan batuk di tangga.

Bagi peribahasa yang pertama, persoalannya, adakah pagar mempunyai sifat yang boleh memakan sesuatu? Pada dasarnya pagar ini bukannya benda hidup, tetapi ianya hanya sejenis benteng yang menutupi kawasan tertentu. Dari segi logiknya, pagar sememangnya tidak boleh memakan sesuatu. Manakala peribahasa kedua pula, peribahasa ini bermaksud melakukan kerja sambil lewa. Namun begitu, batuk hanyalan sejenis mekanisme pertahanan tubuh di saluran pernafasan. Bagaimana pula batuk boleh dikaitkan dengan maksud sesuatu secara sambil lewa?

Sepatutnya :
1. Harapkan pegar, pegar makan padi.
2. Bagai melepaskan batok di tangga.

Pegar merupakan sejenis seakan-akan warnanya seperti burung merak tetapi burung ini bersaiz kecil. Batok ialah sejenis alat pencedok air yang diperbuat daripada tempurung untuk membasuh kaki bagi orang zaman dahulu. Biasanya, selepas kita membasuh kaki, kita tidak akan meletakkan batok tersebut di tempat asalnya semula. Dari situlah menampakkan gambaran kita melakukan kerja secara sambil lewa.

Hal ini demikian kerana tulisan jawi yang ditukar kepada rumi. Jika dikaji semula, 'pagar' dan 'pegar' dieja dalam tulisan jawi dengan menggunakan ejaan yang sama. Begitu juga dengan 'batuk' dan 'batok'.






#8# 'KOME'

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar semua? Saya harap anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera. In shaa Allah, pada kali ini saya ingin kongsikan mengenai perbandingan istilah kata ganti diri pertama mengikut dialek Pahang dan Perak. 

Istilah 'kome', itulah yang ingin saya kongsikan bersama dengan anda pada hari ini. Mungkin anda semua pernah mendengar istilah 'kome' digunakan dalam kehidupan seharian sesetengah masyarakat. Mungkin juga ada yang tidak pernah dengar istilah itu digunakan. Jika dilafazkan kata ini secara fonologi, sebutannya sama sahaja bagi kedua-dua masyarakat di Pahang dan Perak.

Namun begitu, makna yang dibawa bagi istilah tersebut adalah berbeza. Di Perak, istilah 'kome' ini digunakan sebagai kata gandi diri kedua yang bermaksud 'awak' atau 'kamu semua'. Manakala di Pahang pula, biasanya digunaka di beberapa daerah seperti Jerantut dan Lipis, mereka menggunakan istilah 'kome' itu sebagai kata ganti diri pertama yang membawa maksud 'saya' atau 'kami'.

Kome :   Maksud - 'saya' atau 'kami' (Pahang)
              Maksud - 'awak' atau 'kamu semua' (Perak)

Kebiasaannya orang ramai selalu mendengar istilah 'kome' ini sering kali digunakan oleh masyarakat di Perak sahaja. Apabila diberitahu bahawa masyarakat di beberapa buah daerah di Pahang turut menggunakan istilah 'kome' ini, mereka berasa pelik. Saya sendiri berasal daripada Jerantut, Pahang. Apabila saya menggunakan istilah 'kome' semasa bercakap dengan kawan-kawan, mereka mengandaikan saya menggunakan dialek Perak. 

Oleh itu, terdapat banyak istilah yang sama ejaannya, tetapi berlainan maksud. Sama-samaah kita mengetahui dialek negeri lain bagi memudahkan komunikasi antara sesama kita. Sekian.


Monday, 11 March 2013

#7# Kata Penguat Dialek Terengganu


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada hari ini saya ingin berkongsikan kepda anda semua mengenai kata penguat yang digunakan oleh masyarakat Terengganu. Saya telah tinggal dengan rakan sebilik yang berasal dari negeri Terengganu selama tiga semester di UPSI. Sejajar dengan itu, saya telah belajar sedikit sebanyak dialek dari negerinya. Banyak kata penguat yang digunakan oleh masyarakat Terengganu dalam pertuturan seharian mereka. Dialek Terengganu mempunyai beberapa kata penguat yang unik bagi menunjukkan peri pentingnya sesuatu sifat atau keadaan tersebut. Sebagai contoh :


ADJEKTIF
Musing Ketang - keadaan tak menentu / berpusing-pusing
Pendek Ketok - terlalu pendek
Panjang Jeta - terlalu panjang
Gling Banting - jatuh terguling-guling
Aluh Seriak - terlalu kecil / halus
Berak Nanang - sangat berat
Rengang Belepong - sangat ringan
Come Lote - sangat cantik
Besor Jalo - sangat besar

WARNA
Hitang Beletung - terlalu hitam
Putih Sepuk - terlalu putih
Kuning Sior - terlalu kuning
Meroh Nyale - terlalu merah

RASA
Masing pekok - sangat masin
Manih Leting - sangat manis
Tawo Hebe - sangat tawar
Pahik Lepang - sangat pehit


Masih terdapat banyak lagi kata penguat yang digunakan oleh masyarakat Terengganu. Saya hanya dapat mengumpul ini sahaja. Semoga perkongsian ini dapat dijadikan panduan kepada semua. Sekian, terima kasih.




#6# 'SAING'


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Syukur alhamdulillah, akhirnya saya dapat meneruskan lagi blog saya kerana dahulu saya terlupa kata laluan emel saya. Sejuta kemaafan saya ucapkan kepada pensyarah saya, Dr. Siti Saniah kerana saya lewat untuk post tajuk-tajuk terbaharu dalam blog saya. 

Apakah yang dimaksudkan dengan dialek? Dialek / loghat / pelat adalah merupakan satu kelainan bahasa yang berbeza daripada segi sebutan, tatabahasa dan kosa kata berbanding bahasa baku. Baiklah, pada hari ini, topik perbincangan saya ialah berkenaan perkataan 'dialek' yang digunakan di dua buah negeri, iaitu negeri Kelantan dan Johor yang berkaitan dengan perkataan 'saing'.

Mungkin ramai antara kita yang pernah mendengar istilah ini dituturkan oleh sebilangan masyarakat, namun tidak ramai yang mengetahui maksud yang sebenar, termasuk saya. Pada mulanya saya tidak faham dengan dialek yang rakan-rakan saya gunakan kerana terdapat pelbagai kawan dari pelbagai negeri. Tetapi lama-kelamaan saya dapat membezakan maksud dialek yang mereka gunakan. Istilah 'saing' ini sebenarnya memberi beberapa makna yang tidak diketahui oleh orang lain. Berdasarkan pertanyaan yang telah saya lakukan terhadap rakan-rakan sekeliling, mereka mendefinisikan 'saing' ini sebagai istilah yang membawa maksud 'kawan', yakni makna istilah yang digunakan oleh masyarakat Kelantan. Contoh ayat :

   "Tok seko aku mung sanggup nippu aku, mung tok ingat kito ni saing lamo mano doh?"

Ayat di atas membawa maksud "Tak sangka aku kamu sanggup menipu aku, kamu tidak ingat kita ini 'kawan' lama mana dah?" 

Bagi masyarakat yang asalnya bukan dari negeri Kelantan mungkin tidak akan memahami ayat tersebut.Perkataan 'saing' itu juga tidak dapat ditafsirkan dengan jelas apakah maksudnya yang sebenar. Namun begitu, istilah ini membawa maksud lain jika dalam dialek Johor. Istilah 'saing' dalam dialek Johor membawa maksud 'pergi bersama'. Contoh ayat :

 "Ali, kelas Sejarah nanti kita pegi saing ya?"

Berdasarkan ayat di atas, ianya bermaksud " Ali, kelas Sejarah nanti kita pergi bersama ya?". 

Saya mempunyai ramai kawan dari negeri Johor. Saya pernah tersalah faham dengan maksud sebenar yang cuba disampaikan oleh rakan saya. Dia berkata "Pas kelas ni boleh la saing g makan sama". Saya ingatkan dia mahu mengajak rakannya untuk makan bersama-sama dengan kami. Itulah padahnya jika kita tidak memahami dialek negeri lain. 

Semoga perkongkian ini dapat memberi manfaat bersama. Sekian. Terima kasih.